Dalam perjalanan mempertahankan iman, seseorang itu akan silih berganti berhadapan dengan salah satu daripada empat keadaan :
1. nikmat
2. bala
3. taat
4. maksiat.
Keempat-empat itu adalah alat untuk menguji iman.
Dalam menghadapi ujian nikmat pohonlah kepada Allah SWT agar kita dapat mengikat nikmat tersebut dengan syukur. Apabila berhadapan dengan ujian bala', merayulah kepada Allah SWT agar bala' itu dihindarkan.
Atau jika bala itu tidak mahu pergi juga mintalah agar Dia menguatkan jiwa kita dengan kesabaran dan seterusnya mintalah agar Allah SWT mententeramkan hati kita dengan reda.
Apabila kita diberi kesempatan berbuat taat, ketahuilah ketaatan itu adalah kurniaan Allah SWT kerana kasihan belas dan rahmat-Nya kepada kita. Bukan ketaatan terjadi kerana kebolehan dan keupayaan kita.
Jangan melihat amal sebagai hasil usaha kita tetapi hendaklah ia dilihat sebagai pemberian Allah SWT yang wajib disyukuri dan seharusnya kita merendah diri kepadaNya. Dengan tawadhu' yang tulus.
Apabila terjerumus melakukan maksiat pula, ketahuilah bahawa jika kita tidak peduli di lembah kehancuran mana bakal kita jatuh, maka Allah SWT juga tidak peduli di jurang mana kita binasa dan di neraka mana kita menanggung azab seksa.
Jika tidak mahu dibinasakan oleh Allah SWT dan diseksa dengan azab yang pedih, larilah kepadaNya dengan meninggalkan lembah maksiat, bertaubatlah dengan sepenuh hati. Sebenar-benar taubat.
Dalam mengajukan permintaan kepada Allah SWT, yang perlu dilihat adalah diri sendiri. Bukan apa yang diingini. Penting bagi seseorang mengenali dirinya dan menghisab dirinya.
"Maka Dia (Allah) mengilhamkan (dalam diri manusia) jalan kejahatan dan ketakwaan (kebaikan). Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan (jiwa itu), dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.." (As-Syams, 8-10)
ﷲ INSYA ALLAH ﷲ
PERBAIKI DIRI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment