Kasyaf adalah salah satukelebihan yang diberikan Tuhan
kepada hamba-hambaNya yang dikasihiNya. Apa yang ingin disebut di sini
adalah kasyaf yang dianugerahkan Tuhan kepada kekasihNya atau waliNya.
Walaupun tidak dinafikan, ada kasyaf yang didapati oleh orang awam,
kasyaf sebegitu boleh menipu dan merosakkan diri mereka. Kasyaf itu jika
tidak dipimpin dan dijaga, nescaya menjadi istidraj kepada mereka.
Bagi wali Tuhan ini, hal-hal kasyaf sebenarnya telahpun dijanjikan Tuhan sepertimana dalam sebuah hadis qudsi,
Allah berfirman yang maksudnya: Orang yang mendekatkan diri kepadaKu,
mengerjakan yang fardhu dan yang sunat, sehingga Aku cinta kepada mereka
lalu Aku menjadi pendengaran mereka dan Aku menjadi penglihatan mereka.
Kasyaf kepada wali Allah ini ada banyak bahagiannya, seperti berikut:
1) Kasyaf Mata
Mata dapat melihat alam mawara-ul-maddah atau disebut sebagai alam yang
seni-seni atau boleh disebutkan sebagai alam di luar kebendaan. Di sini,
mata dapat melihat perkara-perkara ghaib seperti malaikat, jin dan
syaitan. Kasyaf inilah yang menjadikan orang seperti Sayyidina Umar r.a
nampak apa yang sedang berlaku pada tentera-tenteranya. Karamah seperti
ini penting kerana dapat menyelamatkan seluruh tentera Islam.
2) Kasyaf Telinga
Kasyaf telinga disebut juga hatif. Telinga boleh mendengar benda-benda
yang ghaib. Mendengar suara tetapi tidak nampak lembaganya sama ada dari
jin yang soleh, malaikat atau waliullah. Suara itu adakalanya membawa
berita gembira, adakalanya berita yang negatif. Tujuannya ialah Allah
hendak menghiburkan orang yang mendapatnya. Kalau berita itu berita
gembira, boleh menggembirakannya. Sebaliknya, kalau berita itu berita
duka, juga akan menggembirakannya kerana dia tahu terlebih dahulu,
sekurang-kurangnya dia boleh bersiap menghadapi ujian itu. Atau dia
boleh mengelak daripada bahaya itu.
3) Kasyaf Mulut
Tuhan beri kepada orang itu, lidahnya ‘masin’ seperti doanya kabul atau
apa yang dia sebut terjadi sama ada jangka pendek atau jangka panjang.
Juga, di mana saja dia memberi kuliah, nasihat, tunjuk ajar, berdakwah
dan sebagainya, ianya mudah diterima masyarakat dan boleh mengubah hati
mereka. Akhirnya berubahlah sikap masyarakat. Karamah seperti ini
biasanya dikurniakan kepada pemimpin.
4) Kasyaf Akal
Mendapat ilmu yang seni-seni yang Allah kurniakan pada seseorang terus
jatuh ke hatinya. Ini terjadi tanpa dia belajar, tanpa membaca, tanpa
mentelaah dan tanpa berguru. Dinamakan juga ilham atau ilmu laduni. Agar
tidak terkeliru, perlu diingat orang yang hendak dapat ilmu laduni itu,
dia mestilah dahulu ada ilmu asas iaitu ilmu fardhu ain.
5) Kasyaf Hati
Dinamakan juga firasat. Inilah kasyaf yang tertinggi daripada
kasyaf-kasyaf yang disebutkan tadi. Biasanya dikurniakan kepada
pemimpin. Itupun tidak banyak kerana Allah kurniakan hanya kepada
pemimpin-pemimpin yang sangat soleh, yang sangat sabar menanggung ujian
yang begitu berat ditimpakan kepada mereka. Kasyaf hati ialah rasa hati
atau gerakan hati yang tepat lagi benar. Dia boleh menyuluh mazmumah
yang seni-seni yang kadang-kadang kita membaca kitab tak mengerti.
Termasuk juga adalah rasa hati dapat membaca diri seseorang. Nabi pernah
bersabda, “Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia
melihat dengan pandangan Allah”. Apa yang dimaksudkan dengan firasat itu
ialah kasyaf hati. Orang yang mendapatnya dapat memimpin diri dan dapat
memimpin orang lain. Kalau tidak, seorang itu tidak layak jadi
pemimpin. Kalau dia terus memimpin rosaknya lebih banyak daripada
kebaikan.
Demikianlah yang dapat diceritakan tentang kasyaf. Moga-moga kita mendapat manfaatnya.
Friday, March 22, 2013
Subscribe to:
Posts (Atom)
